topbella

Wednesday, September 22, 2010

HAruMan MawAr


Bismillahirrahmanirrahim

* Tulisan ini ditaip berlatarbelakangkan lagu "Selamat Pengantin Baru" *

Semenjak melangkah ke marhalah rumahtangga, menjadi suri hati seorang lelaki dan bertindak sebagai sayap kiri seorang da'ei selalu pula diasak soalan tentang jodoh. Mencetus gaya berfikir seorang isteri lalu ana mengambil ruang dan peluang tersebut untuk melihat apa yang dilihat oleh orang lain.

"Seronoknya muda lagi dah kahwin."

Ana menggaru kepala. Perkataan seronok itu mempunyai definisi yang berbeza pada setiap orang, barangkali yang diertikan seronok adalah kerana menjadi isteri bermaksud ada tempat untuk mengada-ngada lebih malah dalam ikatan yang halalan toyyibah wa barakah, insya Allah :P mungkin juga seronok adalah kerana sudah terselamat dari fitnah lelaki, entahlah. Banyak sangat kemungkinan yang dibentangkan di dalam kotak minda ana sehingga ana hanya meraikan sahaja soalan dan juga pernyataan mereka.

"Umur berapa?"

"20 tahun."

"Ya Allah, mudanya kahwin."

Menggaru kepala yang langsung tidak gatal. Menggaru kepala adalah tindak balas secara sedar untuk meluahkan bahawa ana agak pelik dengan mereka yang merasa pelik apabila menyedari hakikat usia ana untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri yang mana sememangnya sangat-sangat-sangatlah berat!

"Ustaz, carikan jodoh untuk ana."

Apabila akhawat meminta zauj untuk mencari jodoh dan dalam masa yang sama ada sahabat zauj yang meminta zauj untuk match dengan mana-mana akhawat yang sesuai, ana menggaru kepala lagi. Urusan kahwin bukan suka-suki dan hanya untuk 'lepaskan diri' dari satu situasi tetapi ia adalah urusan dunia dan akhirat, apabila menerima seorang lelaki untuk dijadikan suami bererti wanita itu telah meletakkan urusan agama, dunia dan akhiratnya di tangan lelaki tersebut selepas ijab kabul.

Apabila meminta untuk 'dicarikan jodoh' pastikanlah terlebih dahulu persetujuan dari ibubapa :) Sebagai seorang anak perempuan (mahupun lelaki) dahulukan pendapat ibubapa yang bertanggungjawab atas urusan agama, dunia dan akhirat kita. Apabila ibubapa merestui, lebih mudah untuk mendapatkan keredhaan ibubapa. Ingat! Redha Allah terletak pada redha ibubapa. Setelah menjadi isteri, baru berpindah kepada redha suami.

Kalau step pertama (redha ibubapa) sudah lompong, susah nak memperbetulkan step kedua (redha suami) kerana step pertama sentiasa menjadi asbab kepada rantaian step kedua.

Selepas menjadi isteri, sekiranya ada kesempatan solat berjemaah dengan suami (kerana suami lebih memilih untuk berjemaah di surau dan ana lebih suka solat di rumah), suami akan mengucup dahi ana. Pernah suatu hari, ana bertanya.

"Abang doa apa?"

"Tak ada apa."

"Doalahhhh..." Ohoho, ana sentiasa memaksa suami melakukan apa-apa kerja yang beliau tak mahu lakukan sambil mengharap beliau akan rela melakkan pekerjaan tersebut.

"Doa takda, tapi sentiasa niat semoga menjadi isteri yang diredhai Allah."

Tergamam. Terharu. Sebak pun ada tapi buat muka comel sahaja.

"Amiin."


Kamu, kamu dan kamu di luar sana yang masih 'single' tak kira lah available mahupununavailable, pergunakanlah peluang sebagai ANAK untuk membuat sebanyak-banyaknya saham akhirat. Kelak, apabila sudah menjadi isteri perbanyakkanlah pula saham akhirat sebagai seorang ISTERI, kerjakan suami kalian sungguh-sungguh.

Ana faham, akhawat di luar sana mungkin selalu sedih dan tertekan dengan ujian demi ujian yang datang terutamanya ujian dari lelaki tetapi usahlah terus melutut dan tersungkur dengan ujian tersebut. Ujian-ujian 'kecil' itu hanyalah satu tarbiyyah langsung dari Rabb kepada hamba Nya untuk melatih diri kita menjadi lebih kuat, insya Allah. Ana tidak kata ana kuat, tetapi ujian-ujian sebelum menjadi isteri membuat ana lebih matang dan berfikir hakikat ujian-ujian sebelum kahwin hanya sebutir pasir di pantai kerana hidup berumahtangga lebih hebat mehnahnya :)

Apabila buat sesuatu pekerjaan, ana tidak melakukan kerana ana seorang isteri tetapi sebagai hamba Allah. Apa sahaja pekerjaan di rumah mungkin bagi orang lain merasa "Wah, best jadi isteri. Buat air pun dapat pahala" ana terasa nak ketawa berguling sahaja dengan ayat ini okey! Serius, nampak sungguh rigid dan terlalu sempit skop kebajikan yang disuntik ke dalam minda para wanita sehingga hanya melihat perkahwinan sebagai medan mengumpul pahala.

Sebagai seorang ANAK juga kita boleh berbakti kepada orang tua. Celakalah bagi ummat Muhammad, sekiranya tidak memperdulikan ibubapa yang masih ada di dunia ini! Doa ini diaminkan oleh Rasulullah s.a.w., ya Allah... Hargailah ibubapa kalian, asingkan sejenak gelora perasaan untuk mencintai pasangan (yang sah) dengan muhasabah diri. Sudah cukupkah kebajikan kepada ibubapa? Sudah bersediakan menjadi ibubapa yang bertanggungjawab?

Luaskanlah skop kalian. Buat air untuk SAHABAT pun dapat pahala, selagi mana kita melakukan kebajikan dan memberi manfaat kepada orang lain :)

Kata seorang...

"Kami dah bercinta 3 tahun, dah kenal hati budi masing-masing jadi kami merancang untuk berkahwin."

Kata seorang lagi...

"Setelah mengenali hati budi masing-masing, kami mendapati kami serasi bersama. Jadi, kami nak ikatan ini hingga ke pelamin."

Kata seorang lagi dan lagi...

"Kami putuskan untuk berkahwin kerana saya melihat banyak persamaan antara kami."

STOP. Kalau ini yang berlegar dalam pemikiran kalian, berhentilah dari angan-angan tersebut. Kalau orang-orang veteran mendengar ungkapan ini, muntah hijau agaknya. Kalau ibubapa yang sudah berpuluh tahun kahwin mendengar kalimah ini, gelak terberak agaknya. Alahai, luaskanlah sedikit skop tentang kehidupan berumahtangga. Tidak mustahil, insan-insan yang kononnya serasi bersama semasa bercinta ini tidak panjang tempoh perkahwinan mereka.

Tidak ada manusia yang sama dalam dunia ini. Setiap orang memiliki personaliti yang BERBEZA diantara satu dengan yang lain, maka usahlah dicari PERSAMAAN antara kita kerana memang takdirnya kita diciptakan tidak sama! Tetapi, adakah kita akan SERASI apabila bersama? Alam percintaan sama sekali berbeza (ohhh, jauh sungguh bezanya!) dengan kehidupan berumahtangga. Ana tidak berhasrat membebel, kerana ana juga masih mentah tentang rumahtangga.

"Sebagai isteri, kena banyakkkkk mengalah."

Ana tersenyum, nasihat dari datuk yang dikasihi menusuk di dalam hati. Sebak rasanya tetapi masih tersenyum.

"Nanti dah kahwin, jangan buat itu, jangan begini, jangan macam tu..." Panjang lebar abi tersayang memberi 'wasiat'. Mungkin orang melihat ibubapa ana kelihatan berharta, tetapi itu meterial yang ada susut nilainya. Hakikatnya, harta yang dipusakai oleh ana hanyalah ilmu-ilmu dan nasihat juga tarbiyyah dari mereka.

"Nanti dah kahwin, sentiasalah alert perasaan suami adik." Seorang kakak memberi peringatan.

"Kami dah 40 tahun pun masih berkenal-kenalan lagi. 40 tahun tak cukup untuk kami berkenalan, sekarang pun masih juga berkenalan. Manusia sentiasa berubah, dan dari perubahan-perubahan itu kita akan sentiasa mengenali pasangan kita."

Ana melopong di hadapan ibubapa angkat ana. Mereka yang sudah lama hidup berumahtangga, katanya 40 tahun tidak cukup untuk mengenali pasangan dan sentiasa saling mengenali antara satu dengan yang lain. Allahu Rabbi. Ini yang selalu menjadi PUNCA keretakan rumahtangga, masing-masing merasa sudah mengenali pasangan sedangkan terlupa bahawa manusia sentiasa berubah dan setiap perubahan tersebut adalah proses mengenali sehinggalah nafas terakhir di bumi ini.

1,2,3 mahupun 10 tahun bercinta sekalipun tidak sama dengan kehidupan dalam rumahtangga. Tetapi, Allah sudah berjanji bahawa Dia menciptakan isteri dari jenismu (lelaki) sendiri, supaya suami menjadi cenderung terhadap isteri dan berkasih-sayang terhadapnya. Subhanallah. Tempoh berkenalan bukanlah menjadi satu kata putus pada sebuah perkenalan lelaki dan perempuan dalam fasa membina rumahtangga idaman namun dengan ILMU, IMAN, TAQWA dan SABAR insya Allah rumahtangga sakinah, mawaddah wa rahmah akan terbina.

Kita meraikan dua pengantin baru
Mari doakan agar mereka bahagia
Dapat zuriat yang soleh solehah
Mentaati Allah dan juga Rasul Nya

Agar rumahtangga aman bahagia
Bertolak ansur kenalah ada
Maaf bermaafan rukun setia
Bekerjasama meneraju rumahtangga

Rabbani ~
Pengantin Baru


... Hanya yang bertaqwa akan bahagia ...


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

0 comments:

About Me

My photo
Born in May in Penang, now..i'm studying islamic studies at ganu..IPGM KSM.., akhirul kalam, tafaddal kun wahidan min alfin!